A Tale To Tell & Remember

I'm very much inspired by the words of Thomas L. Friedman in his book "The World Is Flat" which renders about the influence of bloggers in this new age. I want to keep the highest integrity and honesty in posting my words to the world. This blog act as a testimony to my alacrity of sharing information with the borderless world. Hope we can share a high regards of veracity and chivalry with this blog because that's why it is here. So help me God!

Visit Malaysia

Visit Malaysia
Malaysia Truly Asia

Monday, 18 May 2009

Memahami maksud sebenar pasaran ekonomi

Oleh: Ahmad Syah Ejaz Bin Hj. Ismail

 

Gambar hiasan

Definisi pasaran

 

Pasaran bermaksud satu medium perantara dimana aktiviti ekonomi dapat bertimbal balik antara pembekal dan pengguna. Untuk sesuatu pasaran berfungsi dengan baik, ianya memerlukan faktor permintaan dan bekalan (demand and supply) sebagai penggerak pasaran. Adam Smith dapat menerangkan sifat pasaran ini dengan tepat apabila beliau menulis di dalam bukunya The Wealth of Nations pada tahun 1776 berkenaan sifat asas pasaran yang merujuk khusus kepada memenuhi kepuasan dan kehendak individu.

 

Untuk sesuatu pasaran berfungsi dengan berkesan, kepuasan dan kehendak yang bersifat individualistik ini perlu diutamakan dan dipenuhi terlebih dahulu sebelum mana-mana kehendak atau kebajikan kumpulan yang bersifat majoriti atau minoriti dipenuhi. Adam Smith sekali lagi menerangkan perkara ini melalui ayat yang berbunyi, “kesejahteraan hidup seharian seseorang individu dicapai bukan melalui sifat baik hati pembuat roti, penjual daging atau pengusaha wain, tetapi dicapai kerana golongan ini juga mempunyai keperluan dan kehendak masing-masing yang perlu dipenuhi.” Asas inilah yang menjadi kunci utama kepada pembentukan sesuatu pasaran seterusnya membuka peluang kepada pengembangan pasaran seperti penggunaan matawang yang menjadi nilai asas pertukaran bagi sesuatu barangan atau perkhidmatan.

 

Sejarah pengembangan pasaran

 

Pasaran tidak hanya terhad kepada beberapa jenis barangan atau perkhidmatan sahaja. Pasaran adalah bersifat universal dan luas berikutan sifat kehendak dan keperluan pengguna yang tidak terhad. Pasaran sebenarnya telah berkembang dengan pesat sejak manusia mencipta medium perantaraan merentasi beza benua, budaya dan bahasa dengan berdagang antara satu sama lain.

 

Perbezaan yang wujud antara dua individu atau dua kumpulan manusia ini mencipta satu keadaan yang sempurna bagi pengwujudan sesuatu pasaran. Ini dapat dibuktikan apabila barangan tembikar porcelain dan sutera dari China mendapat permintaan tinggi dari negara-negara Eropah. Ini termasuk juga barangan rempah ratus dari Asia Tenggara yang menjadi penyedap makanan orang-orang Eropah pada musim sejuk. Perbezaan keperluan dan kehendak yang wujud antara dua kumpulan manusia menjadi faktor penggerak kepada demand and supply sesuatu pasaran. Pasaran seterusnya menjadi lebih rancak apabila manusia mula berani berdagang menggunakan kapal-kapal dagang yang besar merentasi benua.

 

Evolusi pasaran ini menjadi lebih khusus dan spesifik berdasarkan kepada keperluan dan kehendak semasa manusia di dalam kehidupan seharian. Pada masa ini, pasaran tidak hanya terhad kepada produk-produk berbentuk fizikal, malah juga bercambah kepada penawaran produk yang tidak dapat dilihat seperti produk kewangan, perkhidmatan, konsultasi, pertunjukan budaya, siber dan lain-lain. Pasaran sebetulnya akan menjadi lebih dinamik dan menarik dengan adanya kepelbagaian faktor dalam mencipta demand and supply seperti perbezaan budaya, faktor agama, iklim kawasan, bencana yang berlaku, ancaman sekeliling yang wujud dan sebagainya.

 

Kawalan pasaran

 

Walau bagaimanapun, potensi pasaran ini menjadi pasif dan terhenti pada awal abad ke 20 apabila Karl Marx mengkritik golongan borjuis (kaya) di dalam bukunya Das Kapital. Idea dan kritikan yang bertujuan menyerang khusus golongan-golongan borjuis yang pada ketika itu dilihat menindas golongan pekerja menjadi berkembang dan mendapat sambutan khususnya di negara-negara yang rakyatnya hidup daif dan miskin. Selepas perang dunia ke 2, potensi pasaran menjadi lebih terhad akibat perang dingin yang memperjuangkan ideologi pasaran antara dua blok utama iaitu Kapitalis dan Komunis. Selama 50 tahun negara-negara di dunia menjadi sangat keliru dengan teori kedua-dua jenis pasaran ini. Ini dapat dilihat apabila India mengamalkan sistem pasaran berbentuk sosialisme hingga menyebabkan negara tersebut menjadi sangat mundur. Malaysia juga tidak terkecuali apabila mengambil jalan selamat dengan mengadunkan kedua-dua sifat pasaran ini menjadi sistem pasaran campuran yang masih menekankan intervensi langsung kerajaan di dalam sesebuah pasaran.

 

Walau bagaimanapun, apabila runtuhnya Kesatuan Soviet pada tahun 1992, masyarakat dunia dapat melihat dengan jelas kesan negatif pasaran yang dikawal. Impak buruk ini memberikan kesan yang amat dasyhat khususnya kepada ketidakcekapan pengurusan sumber dan kekayaan negara, kelemahan perbekalan keperluan barang-barang makanan, keburukan kualiti barang-barang kepenggunaan yang dikeluarkan dari negara Russia atau negara blok Komunis termasuk juga masalah sosial yang wujud seperti rasuah dan pasaran gelap. Iron Curtain yang disingkap ini memberi peringatan berguna kepada masyarakat dunia akan impak buruk sesuatu pasaran yang dikawal terus oleh kerajaan.

 

Evolusi pasaran pada abad ke 21

 

Setelah kejatuhan sistem Komunis, dunia menyaksikan sistem Kapitalis bergerak pantas 2.0 di mana negara-negara membangun yang menggunapakai sistem pasaran terbuka ini mencapai pertumbuhan 8 – 9% setahun. Kesejahteraan pengguna juga semakin tinggi disamping pertumbuhan dan pembangunan negara yang pesat kesan daripada pemisahan faktor kawalan di dalam sesuatu pasaran. Penganalisa ekonomi juga semakin galak dalam mengunjurkan pertumbuhan melalui angka petunjuk ekonomi yang bersifat kuantitatif dan boleh diukur secara tuntas.

 

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak sedar akan sifat pasaran yang sebenarnya berevolusi dan menjadi sangat reaktif dek perubahan sekeliling. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh kuasa beli pengguna yang kebanyakan terdiri daripada golongan berpendapatan pertengahan (middle income) yang semakin meningkat dan menjadi pemangkin kepada inovasi produk yang boleh ditawarkan di dalam pasaran dan juga pengembangan sesuatu pasaran serta menjadi penggerak sesebuah pasaran.

 

Kejutan pertama yang diterima oleh sistem pasaran dunia di dalam pasaran Kapitalis 2.0 adalah pada tahun 1987 apabila negara-negara maju bersetuju untuk meningkatkan nilai Yen pada nilai hampir setara dengan dolar Amerika Syarikat bagi mengurangkan kompetensi barangan buatan Jepun. Dunia mengalami kelembapan ekonomi secara tiba-tiba akibat daripada perubahan pasaran kewangan yang dibuat secara mengejut tanpa mengambil kira kesan relative deprivation yang bakal berlaku pada ketika itu. Keadaan sama juga diulang pada tahun 1994 apabila dunia menyaksikan kejatuhan pasaran kewangan di Brazil, 1997 di Asia Tenggara dan terbaru kejatuhan Bank-bank gergasi di Amerika Syarikat pada tahun 2008, akibat inovasi pesat produk non-konvensional yang bersifat pengurusan risiko di dalam pasaran kewangan.

 

Sifat kepenggunaan

 

Sifat dan tindakan yang diambil oleh pengguna dalam situasi pasaran yang pesimis pada tahun 2009 ini tidak boleh diukur secara kuantitatif menyebabkan pasaran pada abad ke 21 tidak lagi dapat diramal dengan tepat. Saintis sosial juga tidak dapat meramalkan dengan tepat akan kemandiran pasaran ekonomi pada tahun 2010 atau tahun seterusnya. Keadaan ini menyebabkan ramai penganalisa pasaran menjadi buntu di dalam mengunjurkan sebarang pertumbuhan tepat pada masa-masa hadapan. Berbeza dengan keadaan dimana sesuatu pasaran tersebut dikawal secara langsung oleh sesebuah kerajaan, keadaan pasaran pada abad ke 21 menjadi sangat terbuka dan reaktif kepada sebarang perubahan yang berlaku termasuk juga perubahan kecil seperti wabak penyakit dan serangan pengganas. Bagi pembuat dasar atau kerajaan yang memerintah, tidak ada jalan lain bagi mereka untuk menyelesaikan krisis pasaran ini kecuali untuk mereka memahami psikologi dan sosio-budaya pengguna negara masing-masing terutamanya pada faktor yang mendorong pengguna dalam membuat keputusan pergerakan kredit harian mereka.

 

Dalam menghadapi krisis ekonomi yang berlaku pada masa sekarang, adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk memastikan pasaran sedia ada tidak bersifat dormant dan pesimis. Untuk memastikan sesuatu pasaran dapat bergerak dengan berkesan, adalah menjadi keperluan untuk sesuatu pasaran tersebut mendapat keyakinan (market optimism) daripada pengguna itu sendiri. Dengan ini, kuasa beli yang wujud dapat digerakkan untuk merencanakan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan di dalam sesebuah pasaran. Dana pelaburan atau kredit yang diperolehi daripada kuasa beli pengguna ini seterusnya digunakan untuk pembangunan R&D sesuatu produk yang menjadi permintaan pengguna. Sifat optimis ini akan membantu kepada hedging akan sesuatu produk pelaburan dan memastikan kelangsungan kecairan modal di dalam sesebuah pasaran. Situasi ini penting dalam memberikan keuntungan kepada semua pihak yang terlibat samada secara kualitatif kepada pengguna dan juga kuantitatif kepada pengusaha.

 

Sifat kepenggunaan pada abad ke 21 adalah berbeza dengan keadaan kepenggunaan pada abad sebelumnya. Jika sebelum ini, pengguna hanya membeli barangan berbentuk keperluan harian, kini kehendak dan keperluan pengguna juga adalah didasarkan kepada kepuasan mereka di dalam berbelanja. Pengguna kini tidak boleh dipaksa dalam berbelanja. Pemilihan barangan atau perkhidmatan yang ada di dalam pasaran akan dinilai dengan teliti berdasarkan kepada keadaan semasa, keperluan terutama dan suasana ekonomi disekeliling pengguna itu sendiri. Ditambah lagi dengan kemudahan kredit yang mudah didapati, situasi pasaran kini menawarkan faktor kepuasan kepada pengguna di dalam perbelanjaan harian untuk mencapai piramid tertinggi didalam ranking kepuasan diri Abraham Maslow. Adalah perlu diingatkan pengguna pada abad ke 21 juga memilih untuk membeli barangan atau perkhidmatan bagi mencapai kepuasan diri dan bukan semata-mata didasarkan kepada keperluan asas semata-mata.

 

Pasaran yang refleksif

 

Pasaran pada abad ke 21 juga tidak bersifat pasif dan menerima perubahan dan ketetapan yang dibuat oleh sesebuah kerajaan semata-mata, tetapi ianya berubah mengikut keadaan sekeliling. Pasaran yang refleksif ini berevolusi dengan mencipta perubahan dan bukan menunggu perubahan oleh kerajaan yang memerintah. Ini dapat dilihat apabila negara menghadapi krisis bahan api pada tahun 2008 dimana pasaran di Malaysia secara automatik bukan sahaja menawarkan produk bahan api alternatif untuk menggantikan bahan petroleum, tetapi juga membina satu kesedaran kepenggunaan yang tinggi khususnya dalam penggunaan sumber tenaga dengan efisyen seperti mentol jimat tenaga dan NGV.

 

Keadaan reaktif dan refleksif ini mencipta suasana pasaran yang dinamik dan pada masa yang sama menawarkan pasaran yang baik kepada mereka yang responsif kepada perubahan semasa. Keadaan pasaran pada tahun-tahun hadapan akan lebih bersifat dinamik dan tidak menentu dalam kelangsungan hidup manusia tidak seperti keadaan pasaran tertutup yang menggunakan sumber sedia ada sehingga sesebuah negara boleh menjadi bangkrap apabila berusaha memenuhi kebajikan penduduknya yang tidak berkesudahan.

 

Rujukan:

 

The Crash of 2008 and What it Means, George Soros, PublicAffairs New York, 2008.

No comments:

Faces of Tun Teddy

Faces of Tun Teddy